Hanis Kaseh, 21, dan suami Haris Othman, 26 serta dua anak mereka dihadapan rumah baharu yang diterima melalui program bina baru rumah Orang Asli Hulu Selangor di Kampung Orang Asli Gurney, Hulu Selangor pada 23 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Dua keluarga Orang Asli syukur dapat rumah baharu sumbangan negeri

HULU SELANGOR, 24 JUN: Dua keluarga Orang Asli di sini bersyukur dan terharu atas pemberian rumah baharu sumbangan Kerajaan Negeri.

Penerima Senah Ni, 51, menganggap kediaman berkenaan sebagai hadiah terbesar selepas berpuluh tahun menetap di rumah papan yang usang.

Senah Ni, 51,

“Saya membuat permohonan tahun lalu selepas tok batin meminta saya berbuat demikian dan Alhamdulillah diluluskan. Kini rumah sudah ada depan mata, tapi macam tidak percaya.

“Syukur kerana nasib kami mendapat perhatian Kerajaan Negeri dan rumah ini umpama rezeki yang sangat bernilai, terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” katanya yang menetap di Kampung Orang Asli Pertak di sini. semalam.

Perasaan sama turut dikongsi Hanis Kaseh, 21, yang menganggap pemberian berkenaan sebagai rezeki buat dua anaknya yang berusia enam dan tujuh tahun.

Hanis Kaseh, 21,

“Sebelum ini kami sekeluarga menumpang rumah ibu bapa saya. Kalau mahu bina rumah sendiri kami tidak mampu, suami hanya kerja kampung.

“Terima kasih Kerajaan Negeri beri kami rumah yang sangat selesa dan cantik. Semoga usaha ini berterusan dan lebih ramai Orang Asli dibantu,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Gurney.

Terdahulu, Senah dan suaminya Amran Ta, 50, menerima bantuan rumah baharu bernilai RM85,000 dengan keluasan 700 kaki persegi manakala Hanis dan suami Haris Othman menerima kediaman bernilai RM55,000 (400 kaki persegi).

EXCO Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti, V Papparaidu bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop menyerahkan kunci rumah kepada Senah Ni pada program penyerahan kunci bina baru rumah Orang Asli Hulu Selangor di Kampung Orang Asli Pertak, Hulu Selangor pada 23 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Majlis serahan kunci disempurnakan EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop.

Papparaidu ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada penerima dan berharap sembangan berkenaan membantu meringankan beban mereka.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi pembinaan 13 rumah baharu Orang Asli yang lebih selamat dan selesa di empat daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

Setakat ini, enam buah rumah sudah diserahkan kepada penerima manakala bakinya masih dalam proses pembinaan dan dijangka kunci diberi hujung tahun ini.

 


Pengarang :