Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Dua penjenayah maut berbalas tembak, suspek miliki 23 rekod jenayah

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Dua lelaki maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 396.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) di hentian Tanjung Malim, Perak, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kedua-duanya merupakan warga tempatan berumur awal 30-an, dan laporan mengenai kejadian itu diterima pada 11.32 malam tadi.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak mengekori kenderaan Proton Waja kelabu dinaiki dua suspek yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan masuk ke lebuh raya Plus arah utara selepas menyedari diekori dan apabila sampai di lokasi kejadian, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Polis membalas tembakan sehingga keadaan selamat. Pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati kedua-duanya dalam keadaan berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 23 rekod jenayah lampau dan enam kes dikehendaki polis manakala identiti seorang lagi suspek masih sedang dikenalpasti.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223 bagi membantu siasatan,” katanya.


Pengarang :