Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. Foto Facebook IPD SHAH ALAM
AGENDAJENAYAH

Dua peragut ditahan kurang 24 jam melakukan jenayah terhadap pemandu wanita

SHAH ALAM, 26 JUN: Dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita di Lebuhraya Kesas semalam yang tular di media sosial ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 33 dan 32 tahun yang bekerja sebagai pencuci kereta dan pembantu kedai makan itu ditahan antara 1.30 hingga 3 pagi tadi di sekitar Klang susulan laporan yang diterima.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada mangsa berumur 58 tahun pada 8.35 pagi semalam yang mendakwa diragut ketika berhenti di tepi jalan berikutan kereta dinaikinya mengalami kerosakan sekitar 7 pagi.

“Menurut mangsa, kedua-dua suspek pada mulanya berhenti bersebelahan keretanya sambil berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa sebelum secara tiba-tiba seorang daripada suspek bertindak mengambil dompet yang berada di dalam beg silang dipegang mangsa.

Mangsa kemudiannya bertindak menangkap tangan suspek yang membonceng motosikal tetapi tindakan itu menyebabkan mangsa terseret di jalan raya hingga cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata kejadian itu terakam di ‘dashcam’ kereta salah seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan melalui laluan tersebut.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menangkap dua lelaki tersebut dan menemukan semula barangan diragut iaitu kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa termasuk motosikal yang digunakan ketika kejadian.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain mereka juga didapati positif dadah jenis methamphetamine setelah ujian saringan air kencing dilakukan.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :