Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir (tiga, kanan) melakukan gimik selepas sidang media perluasan Program Kitar Semula di Kabin Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3, Subang Jaya pada 24 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Subang Jaya perluas program kitar semula, KDEBWM tambah lori

SUBANG JAYA, 24 JUN: Program kitar semula anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya diperluas ke 14 lagi kawasan bermula 1 Julai bagi meluas capaian masyarakat.

Wakil rakyatnya berkata langkah itu susulan kejayaan fasa pertama program yang berjaya mengumpul hampir 140,000 kilogram (kg) barangan kitar semula dari Januari hingga bulan lalu.

Menurut Michelle Ng Mei Sze, fasa kedua program dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) akan melibatkan keseluruhan kawasan dari USJ 1 hingga 22.

“Sebelum ini DUN Subang Jaya ada melaksanakan program pengasingan di punca tetapi kutipan tidak terlalu memberangsangkan. Selepas kerjasama dengan KDEBWM capaian kepada penduduk lebih luas dengan kutipan lebih kerap.

“Fasa pertama kerjasama dengan KDEBWM ini melibatkan USJ 12 hingga USJ 19 serta PJS 7, PJS 9 dan PJS 11 dan 1 Julai nanti akan diperluas ke kawasan lain susulan kutipan amat memberangsangkan.

“Kutipan barangan kitar semula akan dilaksanakan KDEBWM tiga kali seminggu mengikut jadual kutipan domestik kawasan terlibat. Penduduk hanya perlu mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula ke dalam plastik yang berlainan daripada sampah domestik,” katanya.

Michelle Ng Mei Sze menambah barangan yang boleh dikitar semula adalah plastik, kertas, aluminium dan besi buruk manakala yang tidak boleh dikitar semula adalah alatan permainan, baju dan polistirena (styrofoam).

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir dan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze ketika sidang media perluasan Program Kitar Semula di Kabin Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3, Subang Jaya pada 24 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata kutipan barangan kitar semula dijangka membabitkan 20,000 rumah dengan jumlah kutipan dijangka 70,000 hingga 100,000kg.

“KDEBWM akan menyediakan tambahan tujuh hingga lapan lori yang akan beroperasi mengikut jadual kutipan sampah domestik di kawasan perumahan terlibat.

“Kita harap dengan perluasan ini akan menggalakkan lebih ramai penduduk terlibat dengan kitar semula ke arah menjaga persekitaran dan membantu mengurangkan kadar pelupusan sampah di tapak pelupusan,” katanya.


Pengarang :