Pengunjung Lindsay Gasik, 33, (kiri) bersama suaminya Richard Koivusalo, 35, bergambar dengan buah durian pada Majlis Pelancaran Pakej Durian Tourism 2022 di Georgetown, Pulau Pinang pada 15 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Eksport durian segar ke China, lebih 63,000 pengusaha raih manfaat

PUTRAJAYA, 19 JUN: Buah durian segar dari Malaysia kini boleh dieksport ke China menerusi pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sebelum ini Malaysia diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada 2018.

Beliau berkata tambahan akses durian segar ini akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin pelaksanaan protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63,000 pengusaha durian di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui protokol itu juga, Mohamad berkata pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam protokol berkenaan dibenarkan untuk mengeksport buah durian segar ke China.

Pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport buah durian segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan e-mel kepada [email protected] dan [email protected].

Dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai RM1.14 bilion. Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama iaitu 58.6 peratus kepada nilai eksport buah-buahan negara pada 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan yang bernilai RM2.01 bilion.

China merupakan pasaran eksport utama durian dari Malaysia dengan nilai eksport RM887 juta pada 2022. Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada 2030.

Terdahulu, protokol itu telah dimeterai oleh Mohamad dan Menteri GACC Yu Jianhua.

Dokumen itu diserah terima antara Mohamad dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dalam majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang.

– BERNAMA


Pengarang :