EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menunjukkan pelekat Pandang Belakang, Di mana anak anda sekarang? yang menjadi tema Kempen Keselamatan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Keluarga 2024 yang dilancarkan di Hospital Selayang pada 21 Mac 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Elak tertinggal anak dalam kenderaan, negeri tubuh sekretariat keselamatan

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Negeri menubuhkan sekretariat kempen keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan bagi meningkat kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.

EXCO kebajikan berkata sekretariat dianggotai agensi antaranya persatuan taska, jabatan kesihatan, jabatan pendidikan dan Yayasan Warisan Anak Selangor bertujuan mengelak kejadian anak tertinggal dalam kenderaan.

“Menerusi kempen keselamatan ini, persatuan taska selaku operator akan menghubungi ibu bapa sekiranya berlaku kelewatan atau tidak menghantar anak ke taska. Amalan saling mengingatkan melibatkan semua pihak perlu dikekalkan dan diteruskan.

“Malah, untuk fasa berikutnya kempen ini akan melibatkan syarikat swasta atau pusat beli-belah bagi berkongsi mesej kesedaran dengan mengingatkan kehadiran anak-anak dalam kereta,” kata  Anfaal Saari kepada Selangorkini.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa menerapkan amalan ‘pandang belakang’ bagi mengelakkan kejadian anak tertinggal dalam kenderaan.

“Pihak kami akan terus melaksanakan kempen bersepadu berterusan menerusi platform media sosial, media masa dan program khidmat masyarakat.

“Kita tidak mahu kejadian anak tertinggal dalam kenderaan hingga meragut nyawa berulang. Kejadian ini seperti menyebabkan ibu bapa menanggung kesan emosi yang berat,” katanya.

Beberapa kes kanak-kanak maut dalam kenderaan direkodkan antara November hingga Januari lalu, terbaharu membabitkan seorang kanak-kanak perempuan lima tahun yang berlaku berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam pada 30 Januari lalu.


Pengarang :