AGENDAJENAYAH

Empat daripada 19 orang cedera bas ekspres jatuh gaung

LAHAD DATU, 21 JUN: Empat cedera selepas sebuah bas ekspres yang membawa 19 orang termasuk dua pemandu dan seorang konduktor terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di Batu 9, Jalan Silam, di sini malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata empat individu yang cedera itu kini stabil dan mendapatkan rawatan di Hospital Lahad Datu manakala yang lain hanya cedera ringan.

“Bas dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu terjatuh ke dalam gaung dengan kecerunan gaung itu kira-kira 50 meter, beberapa individu berjaya keluar sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut laporan media malam tadi, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.24 malam dan 20 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu serta tiga anggota pasukan bomba sukarela Silam bergegas ke lokasi kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :