Empat maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 123.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Pagoh-Yong Peng, pada 11 Jun 2024. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Empat maut kereta rempuh treler rosak di lebuh raya

BATU PAHAT, 12 JUN: Lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing maut selepas kereta yang mereka naiki melanggar bahagian belakang treler rosak di KM123.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Pagoh-Yong Peng, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata nahas berlaku pada 9.15 malam, mengorbankan pemandu kereta berusia 26 tahun manakala mangsa wanita warga Vietnam berusia antara 19 hingga 32 tahun.

Beliau berkata treler berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 47 tahun serta dalam perjalanan dari Semenyih, Selangor menuju ke Kulai, Johor, berhenti di tengah jalan selepas mengalami kerosakan.

“Kereta mangsa merempuh bahagian belakang treler ketika pemandu treler terbabit sedang mendapatkan bantuan untuk mengalihkan kenderaannya. Pemandu kereta bersama dua penumpangnya parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Seorang lagi penumpang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Pegawai Bomba Kanan II Jefri Hashim berkata enam anggota bersama sebuah jentera LFRT bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) berjaya mengeluarkan keempat-empat mangsa, namun tiga daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi. Seorang lagi mangsa parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan. Operasi tamat pada 9.59 malam,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :