Penyokong menunjukkan solidariti kepada Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

EXCO gesa Selangor FC bantah keputusan ‘tidak adil’ MFL

SHAH ALAM, 25 JUN: Selangor FC digesa mengemukakan bantahan terhadap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini yang menghukum pasukan itu kerana tidak beraksi pada Piala Sumbangsih Mei lalu.

EXCO sukan berkata keputusan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu bersifat menekan, tidak adil dan  membelakangkan semangat kesukanan dalam bola sepak.

EXCO Sukan Najwan Halimi (kanan) ketika majlis penyerahan sumbangan MBI kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Keputusan seharusnya dibuat dengan mengambilkira permohonan Selangor FC yang memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden keganasan yang melibatkan Faisal Halim dan beberapa pemain lain.

“Saya telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan menggesa mereka agar mengemukakan bantahan terhadap keputusan ini,” tulis Najwan Halimi di laman X.

Ultras Selangor menaikkan tifo Faisal Halim sebagai memperingati pemain tersebut pada perlawanan Liga Super Malaysia 2024/2025 di antara pasukan Selangor FC menentang pasukan Kedah Darul Aman FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Mei 2024. Foto BERNAMA

MFL hari ini memaklumkan skuad Gergasi Merah didenda susulan tidak beraksi pada Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, Selangor FC didenda RM100,000, bayaran pampasan kerugian JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super.

Sementara itu, Selangor FC dalam kenyataan balas berkata pihaknya sedang meneliti dan mengkaji semua saluran bersesuaian sebelum mengambil tindakan seterusnya berhubung hukuman.

Pasukan itu juga menegaskan pihaknya memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei dan beberapa insiden lain membabitkan pemain bola sepak tanah air, namun ia ditolak.

Antara penyokong yang hadir menunaikan solat hajat dan doa selamat pada Malam solidariti Faisal Halim bersama MPKj dan Selangor Soccer Fan Club di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pada 5 Mei, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Tiga hari selepas itu, Selangor FC menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang JDT disebabkan faktor keselamatan, menegaskan pihaknya memandang serius segala ancaman yang diterima beberapa pemain serta pegawai.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan yang diurus Selangor FC membabitkan latihan fizikal dan pengurusan emosi.

Pemain Selangor FC Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 13 Jun lalu, Faisal membuat kemunculan sulung pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC dengan kesan luka masih belum kering pada tangan kiri dan kepala.

Tonggak Gergasi Merah itu mengakui hampir berputus asa dan mahu melupakan bola sepak selepas kejadian simbahan asid yang menimpa dirinya.

“Saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu dan berhenti bermain bola asalkan saya dan keluarga selamat,” katanya sebak pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC.

Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :