EXCO Sukan Najwan Halimi (tiga kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop (tiga kiri) selepas penyerahan sumbangan MBI selangor kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Jalin kerjasama dengan swasta, agensi bangun sukan berpotensi tinggi

SHAH ALAM, 25 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menjalin kerjasama dengan rakan strategik termasuk swasta dan anak syarikat negeri dalam usaha membangunkan sukan berpotensi tinggi.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata inisiatif itu dibuat bagi memastikan pembangunan sukan negeri terus unggul dan tidak berdepan dengan kekangan kewangan.

“Kita berusaha sedaya mungkin dan kita tidak jadikan ia satu masalah tetapi kita bekerjasama dengan rakan strategik khususnya swasta untuk mereka turut terlibat.

“Kita juga menjalin kerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri seperti pihak berkuasa tempatan dan mereka turut bantu dalam persiapan dan menyokong persatuan sukan untuk jadi bapa angkat,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah RM200,000 kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kelab Ragbi Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Presiden Kelab Ragbi Selangor (KRS), Lim Yi Wei (dua kiri) sambil diperhatikan EXCO Sukan Najwan Halimi (tengah) pada majlis penyerahan sumbangan MBI kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Diadakan di pejabat MBI di Bangunan Darul Ehsan di sini, majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor Saipolyazan M Yusop dan Pengarah Eksekutif MSN negeri Mohamad Nizam Marjugi.

Najwan menambah, pembangunan sukan Selangor memerlukan sekurang-kurangnya RM20 juta setahun bagi memajukan sukan berpotensi seperti hoki, ragbi, memanah dan menembak.

“Kerajaan Negeri sediakan RM8 juta setahun, secara relatifnya ia rendah. Tetapi ia bukan satu masalah kerana kita bekerjasama dengan rakan strategik khususnya swasta dan agensi Kerajaan Negeri,” katanya.

Berhubung persediaan kontinjen negeri ke Sukan Malaysia (Sukma), Najwan berhasrat mengulangi kenangan manis Selangor sebagai juara keseluruhan pada acara sama dianjur Sarawak pada 2016.

EXCO Sukan Najwan Halimi berucap ketika majlis penyerahan sumbangan MBI selangor kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bagaimanapun katanya, kontinjen negeri perlu menempuh pelbagai cabaran pada sukan dwi tahunan itu termasuk lokasi acara sukan yang diadakan di pedalaman Bumi Kenyalang.

“Sukma kali ini akan diadakan di sembilan daerah antaranya di Miri, Bintulu, Mukah, Betong, Sibu, Kuching dan Lundu. Semuanya jauh-jauh.

“Malah ada lokasi yang melibatkan kawasan pedalaman. Ia sedikit mencabar tetapi kita tidak ambil mudah. Kita akan buat penyelarasan dan tempatkan pegawai di setiap daerah,” katanya.

Temasya Sukma ke-21 di Sarawak dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan dengan 37 acara sukan dipertandingkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Presiden Persatuan Memanah Selangor, Mohamad Norwafi Sahroni (dua kiri) sambil diperhatikan EXCO Sukan Najwan Halimi (tengah) pada majlis penyerahan sumbangan MBI kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCO Sukan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop bergambar selepas menyerahkan cek cura sumbangan MBI selangor kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :