EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (tengah) pada Program Town Hall bersama NGO Seni Budaya Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Ketengah identiti negeri menerusi makanan, persembahan sambut delegasi luar

SHAH ALAM, 22 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan bakal mengetengahkan identiti negeri kepada delegasi luar sebagai langkah mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata arahan akan dikeluarkan menerusi pekeliling dalam masa terdekat selain perkara itu sudah dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Ia melibatkan makanan, persembahan dan buah tangan. Selangor ada banyak makanan tersendiri antaranya nasi ambeng, punten dan soto. Jadi makanan ini boleh dihidang kepada tetamu yang datang.

“Tarian ronggeng, cempuling dan keroncong juga boleh dipersembahkan. Ini adalah tarian kita. Untuk cenderahati boleh beri replika wau kapal atau kain bersulam batik Selangor yang telah diwarta sebagai identiti negeri,” katanya.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (tengah) pada Program Town Hall bersama NGO Seni Budaya Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas sesi Town Hall (dialog awam) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya negeri di sini hari ini.

Borhan turut menggalakkan semua pihak terutama NGO untuk giat menganjur acara dan aktiviti seni yang mengetengahkan identiti negeri bagi mempromosikan lagi Selangor.

“Tahun depan Selangor menyasarkan kehadiran tujuh juta pelancong antarbangsa. Peluang ini perlu dimanfaatkan supaya Selangor dapat dipromosikan seterusnya dikenali,” katanya.

Sementara itu, Borhan berkata sesi berkenaan menjadi medan untuk penggiat budaya dan seni menyampaikan pandangan demi memajukan lagi sektor terbabit.

“Hampir 200 penggiat seni budaya aktif menyertainya. Ini pendedahan yang sangat baik. Program berjalan lancar dan dapat rungkai pelbagai persoalan.

“Ini sebagai ukuran untuk kita dapatkan peruntukan lebih pada belanjawan akan datang,” katanya.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (tengah) bergambar dengan peserta pada Program Town Hall bersama NGO Seni Budaya Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 22 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :