EXCO Sukan Najwan Halimi berucap pada majlis penyerahan insentif kecemerlangan atlet Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

EXCO: Kutipan tabung solidariti diserah sepenuhnya kepada Selangor FC

SHAH ALAM, 29 JUN: Kutipan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang dilancarkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) diserahkan sepenuhnya kepada pasukan itu.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata lebih RM40,000 berjaya dikumpul dalam tempoh kurang 48 jam selepas tabung berkenaan dilancarkan pada 26 Jun lalu.

“Dana atau tabung solidariti ia bukan soal berikan duit semata-mata tetapi kita beri ruang kepada peminat untuk nyatakan sokongan dan solidariti bersama.

“Dana ini untuk kita bantu Selangor FC. Setakat ini sudah lebih RM40,000 dalam masa kurang 48 jam. Kita akan serahkan 100 peratus tanpa caj pentadbiran,” katanya Ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Najwan menyempurnakan penyerahan insentif atlet Selangor di Hotel Concorde di sini, yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

EXCO Sukan Najwan Halimi (tengah) bergambar bersama atlet Natasha Mohamed Roslan (dua, kiri) dan Nur Farah Ain Abdullah (dua, kanan) pada majlis penyerahan insentif kecemerlangan atlet Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Najwan turut menzahirkan penghargaan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Menurut beliau, pengurangan denda tersebut bagaimanapun tidak mengubah ketetapan Selangor FC untuk meneruskan proses rayuan menerusi pelbagai saluran disediakan.

Katanya, Kerajaan Negeri sedia menghulurkan bantuan kepada Selangor FC dalam proses mendapatkan keadilan selain menyokong setiap keputusan yang dibuat kelab bola sepak tersebut.

“Kita ucapkan terima kasih kepada MFL yang ambil cakna terhadap keresahan peminat sukan, selain menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam memberi pengurangan hukuman kepada Selangor FC.

“Kita minta mereka (Selangor FC) gunakan semua saluran yang ada untuk dapatkan keadilan. Jika ia terlalu keras dan tidak adil, ada pilihan lain, mungkin di peringkat mahkamah timbang tara sukan,” katanya.

MFL dalam kenyataan kelmarin memaklumkan ahli lembaga pengarah menggunakan budi bicara untuk menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor.

Selepas pertimbangan MFL, hukuman denda terhadap SFC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan ke atas pasukan itu turut dibatalkan.

Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik, dan penonton akan dibenarkan hadir menyaksikan pada perlawanan itu nanti.

Menurut MFL, tempoh rayuan diberikan kepada Selangor FC adalah tiga hari bermula 27 Jun seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.


Pengarang :