Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Faisal imbau detik disimbah asid, cuba lupakan ‘rasa panas, pedih’

SHAH ALAM, 13 JUN: Pemain skuad kebangsaan Faisal Halim membuat kemunculan sulung di Pusat Latihan Selangor FC hari ini, selepas lebih sebulan tragedi simbahan asid menimpanya pada 5 Mei lalu.

Meluahkan rasa hatinya kepada media, Faisal berkata beliau sebenarnya enggan mengimbau kembali detik hitam yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

“Kalau boleh saya sudah tidak mahu ingat lagi insiden ini. Masa mula-mula kena (disimbah asid) saya rasa panas dan pedih. Saya tahan kesakitan.

“Ada beberapa pengunjung menghampiri saya dan kata ini tidak bahaya. Saya cuba tenangkan diri dan bersemangat. Tetapi rupa-rupanya ia (asid) sangat bahaya dan luar biasa,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, bintang Selangor FC itu hadir dengan kawalan ketat anggota keselamatan diiringi isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril dan bapanya, Halim Saad.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar, Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair dan peguam Mohd Haijan Omar.

Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Faisal menjelaskan beliau mengambil keputusan untuk keluar bertemu masyarakat selepas memaklumkan keadaannya kepada Shahril selain mahu cepat kembali beraksi di atas padang.

“Saya hubungi Datuk (Shahril) dan beritahu keadaan saya, saya sudah kembali kayuh basikal. Datuk terkejut dan saya juga beritahu sampai bila saya mahu menyorok dari umum.

“Saya sedia tonjolkan diri supaya bebas dan tidak perlu berselindung lagi. Saya mahu jalani kehidupan seperti biasa. Saya harap saya dapat kembali bermain semula dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan mengalami lecur tahap empat.

Pemain sayap Harimau Malaya berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan yang diurus Selangor FC membabitkan latihan fizikal dan pengurusan emosi.


Pengarang :