Pemain Selangor FC, Faisal Halim pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Faisal mahu pelaku, dalang ditangkap segera, akui tiada musuh

SHAH ALAM, 13 JUN: Pemain kebangsaan Faisal Halim berharap dalang dan pelaku insiden simbahan asid yang menimpanya Mei lalu segera diberkas polis.

Faisal yang membuat kemunculan sulung selepas tragedi itu mengakui sukar untuk dirinya dan keluarga menerima musibah tersebut berikutan tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.

“Apabila ditimpa musibah seperti ini, memang agak sukar untuk saya dan keluarga. Saya harap si pelaku ditangkap dan didakwa segera.

“Saya tidak tahu saya ada musuh dan saya tidak pernah buat masalah dengan sesiapa. Saya tidak tahu sama ada perlu atau tidak untuk ubah karakter diri saya selepas ini,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC di sini, hari ini.

Terdahulu, Faisal yang terkenal dengan perwatakan ceria sebelum ini hadir dengan kawalan ketat anggota keselamatan diiringi isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril dan bapanya, Halim Saad.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar, Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair dan peguam Mohd Haijan Omar.

Pemain Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Mohd Haijan berkata pihaknya belum dimaklumkan sebarang perkembangan terbaharu daripada pihak polis susulan siasatan insiden simbahan asid tersebut.

Menurutnya pihak polis hanya merakam percakapan Faisal pada minggu pertama selepas tragedi berkenaan ketika tonggak Gergasi Merah itu sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta.

“Setakat ini Selangor FC dan Faisal tidak dimaklumkan sebarang perkembangan lanjut tetapi kami ada keyakinan penuh terhadap polis yang boleh mengheret pelaku ke muka pengadilan,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya dan mengalami lecur tahap empat.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan yang diurus Selangor FC membabitkan latihan fizikal dan pengurusan emosi.


Pengarang :