Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Faisal sebak cerita insiden simbahan asid, rindu pelukan anak

SHAH ALAM, 13 JUN: Kemunculan sulung pemain Selangor FC Faisal Halim pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC di sini, meruntun hati sesiapa yang melihatnya.

Luka Faisal yang masih belum kering pada tangan kiri dan kepala jelas menunjukkan penderitaan yang ditanggung pemain skuad kebangsaan itu akibat disimbah asid pada Mei lalu.

Faisal juga sesekali dilihat menyeka air mata ketika menceritakan semula insiden tersebut khususnya apabila menyatakan tidak dapat memeluk anak lelakinya sejak sebulan lalu.

“Kekuatan saya adalah seluruh keluarga saya dan sudah tentu anak saya kerana saya paling rapat dengan anak saya. Setiap kali saya ke luar negeri dia akan demam.

“Selepas kejadian itu saya tidak dapat peluk anak, ia bukan perkara yang mudah untuk seorang ayah. Apabila saya pulang dari hospital pun saya masih tidak dapat peluk anak saya.

“Sehinggalah empat atau lima hari lalu, baru saya dapat peluk anak saya. Tapi saya masih belum dapat tidur bersamanya. Dia adalah kekuatan dan semangat saya,” katanya sambil menitiskan air mata.

Faisal hadir dengan kawalan ketat anggota keselamatan diiringi isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril dan bapanya, Halim Saad.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar, Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair dan peguam Mohd Haijan Omar.

Pemain Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Faisal mengakui redha dengan musibah menimpa dirinya dan mahu terus melangkah ke hadapan serta kembali beraksi di arena bola sepak secepat mungkin.

“Sudah pasti saya berasa sedih tetapi yang berlaku sudah berlaku. Kita tidak boleh ubah masa lalu namun kita boleh ubah masa hadapan,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya dan mengalami lecur tahap empat.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan yang diurus Selangor FC membabitkan latihan fizikal dan pengurusan emosi.


Pengarang :