Pemain sayap Selangor FC Faisal Halim bersama keluarga hadir memberi sokongan aksi Piala FA antara Selangor FC lawan Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya pada 15 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Faisal turun padang, tonton aksi Selangor lawan Negeri Sembilan

PETALING JAYA , 15 JUN: Pemain sayap sensasi Selangor FC dan Harimau Malaya Mohamad Faisal Abdul Halim menyaksikan perlawanan pusingan pertama Piala FA 2024/2025 antara skuad Gergasi Merah dan Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim yang hadir ke stadium bersama ahli keluarga termasuk isteri dan anak beliau ternyata menggembirakan para peminat Selangor yang membanjiri venue itu.

Faisal yang lebih mesra disapa Mickey dilihat melemparkan senyuman dan melambai ke arah para peminat yang teruja dan bersorak kepadanya.

Khamis lepas, pemain berusia 26 tahun itu membuat penampilan pertama di khalayak umum pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam selepas insiden disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di sini, bulan lepas.

Susulan kejadian pada 5 Mei lepas itu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

— BERNAMA


Pengarang :