Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Jaheerah Nadzri atau lebih mesra disapa Eerah berkata, dia berasa teruja dapat menyerahkan sendiri kuih cornflakes madu hasil tangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibarhim di Restoran Ummi Aishah di Pusat Perdagangan Warisan Sentral, Kota Warisan pada 7 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gadis OKU teruja sampaikan sendiri biskut hasil tangannya buat PM

SEPANG, 7 JUN: Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Jaheerah Nadzri atau lebih mesra disapa Eerah, jelas teruja apabila dapat menyerahkan sendiri biskut cornflakes madu hasil tangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gadis berusia 30 tahun itu berkata sebaik mengetahui perdana menteri akan datang ke Restoran Ummi Aishah di Pusat Perdagangan Warisan Sentral, Kota Warisan di sini untuk makan tengah hari, dia merasa gembira kerana sudah beberapa kali sebelum ini Anwar bertanyakan kepadanya mengenai biskut itu ketika disapa.

“Sebelum ini setiap kali berjumpa dengan perdana menteri di mana-mana program, dia akan tanya saya, mana kuih cornflakes?

Eerah memasak burger bersama Nurul Izzah Anwar. Foto Facebook Nurul Izzah Anwar

“Semasa makan tengah hari di restoran ini semalam, pemilik restoran, Nizam, beritahu kami perdana menteri akan datang sini esok (hari ini), jadi apabila balik dari meniaga burger kira-kira pukul 11 malam tadi saya terus buat cornflakes madu,” katanya kepada Bernama.

Eerah ditemani bapanya Nadzri Abd Majid semasa menyerahkan cornflakes madu itu kepada Anwar, selain turut memberikan tiga keping gambar yang antaranya memaparkan gambar beliau dan Nurul Izzah Anwar memasak burger.

Eerah yang menghadapi masalah pembelajaran berkata kuih cornflakes madu yang dibuat menggunakan resepi dari arwah ibunya itu hanya dijual semasa musim perayaan kerana pada hari biasa, beliau membuka gerai menjual burger berhampiran Masjid Al-Hijrah di sini.

Sebelum ini Eerah mendapat perhatian netizen di TikTok selepas beliau berkongsi video memasak burger bersama bapa di gerainya, sehingga ada videonya yang meraih 13.9 juta tontonan.

-BERNAMA


Pengarang :