Gombak FC menang ke atas Bukit Tambun FC 2-1 dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Bandar Baru Selayang pada 1 Jun 2024. Foto Facebook Gombak FC
AGENDASUKANKINI

Gombak FC mulakan langkah bergaya tewaskan Bukit Tambun FC 2-1

SHAH ALAM, 2 JUN: Gombak FC memulakan langkah bergaya selepas menang 2-1 ke atas Bukit Tambun FC di Stadium MPS, Bandar Baru Selayang, malam tadi.

Pengurus Gombak FC Radziff Hassan memaklumkan pasukannya memulakan permainan dengan agak perlahan pada separuh masa pertama dan hanya mengikut rentak lawan.

“Pada separuh masa pertama corak permainan Gombak FC agak perlahan dan mengikut rentak lawan sehingga pihak lawan berjaya menghasilkan gol pertama.

“Gombak FC ketinggalan 0-1 apabila Bukit Tambun FC berjaya menjaringkan gol melalui Syazwi Suhaimi pada minit ke 34,” katanya menerusi Facebook.

Radziff menambah, Gombak FC bagaimanapun bangkit pada separuh masa kedua dan berjaya memberi tekanan dengan corak permainan tinggi sekali gus menghasilkan dua gol.

“Bersambung separuh masa kedua, Gombak FC menggandakan asakan sehingga berjaya menghasilkan gol pada minit 61 melalui Shukri Hamid dan Vinicius pada minit 80,” katanya.

Gombak FC akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat, Melaka bagi perlawanan kedua menentang Melaka FC dalam saingan Liga A1 Semipro Kejohanan Bank MBSB 2024.


Pengarang :