AGENDANASIONAL

Harga diesel diapung RM3.35 seliter, 30,000 pemilik kenderaan terima bantuan tunai

SHAH ALAM, 9 JUN: Harga diesel di Semenanjung  ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula tengah malam ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata harga seterusnya akan diumumkan setiap Rabu seperti amalan semasa, lapor portal Berita Harian.

“Dengan penetapan penyelarasan subsidi membawa penjimatan RM4 bilion setahun dan mengawal aktiviti penyeludupan terutama membabitkan stesen di sempadan.

“Dengan penjimatan semasa, kerajaan akan memulangkan kepada pembangunan infrastuktur dan lain-lain,” katanya pada sidang media  di Putrajaya hari ini.

Amer Hamzah berkata seramai 30,000 individu merangkumi pemilik kenderaan diesel persendirian serta petani dan pekebun kecil menjadi kumpulan pertama menerima bantuan tunai RM200 sebulan.

Beliau berkata bantuan Budi Madani Individu dan Budi Agri-Komoditi akan dimasukkan ke akaun penerima mulai tengah malam ini.

“Permohonan untuk mendapatkan subsidi bersasar itu terus dibuka, dan menyeru sesiapa yang layak namun belum mendaftar dengan program Budi Madani untuk berbuat demikian,” katanya.

Kerajaan menyarankan individu pemilik kenderaan diesel, petani kecil dan pekebun
kecil komoditi yang layak untuk memohon Budi Madani di pautan
https://budimadani.gov.my.

Pemilik kenderaan logistik yang layak juga boleh memohon untuk mendapatkan ‘fleet
card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.


Pengarang :