EXCO Sukan Najwan Halimi (tengah) bergambar bersama atlet Natasha Mohamed Roslan (dua, kiri) dan Nur Farah Ain Abdullah (dua, kanan) pada majlis penyerahan insentif kecemerlangan atlet Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Harumkan nama negara, dua atlet wanita Selangor terima insentif RM10,000

SHAH ALAM, 28 JUN: Dua atlet negeri menerima insentif sebanyak RM10,000 setiap seorang berikutan kejayaan mengharumkan nama negara dalam kejohanan dunia, baru-baru ini.

Atlet berkenaan Natasha Mohamed Roslan menjuarai acara boling dunia 2023 di Kuwait, manakala Nor Farah Ain Abdullah dalam kejohanan dunia boling padang pada April lalu di Ireland.

Bercakap kepada pemberita, EXCO Sukan Najwan Halimi berkata ganjaran itu tanda penghargaan Kerajaan Selangor yang berbangga dengan pencapaiaan kedua-dua atlet terbabit.

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan atlet Selangor yang mengharumkan nama Malaysia dan negeri ketika mewakili negara dalam kejohanan di pentas dunia,” katanya ketika ditemui.

EXCO Sukan Najwan Halimi berucap pada majlis penyerahan insentif kecemerlangan atlet Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Najwan menyempurnakan penyerahan insentif atlet Selangor di Hotel Concorde di sini, yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Majlis tersebut turut meraikan lapan atlet negeri yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 dan turut menerima insentif berjumlah RM5,300.

Sementara itu, Natasha, 28, berkata penghargaan Kerajaan Negeri menjadi pembakar semangat untuk dirinya berusaha dan berlatih lebih gigih dalam sukan tenpin boling.

“Saya tidak jangka akan terima insentif negeri, terkejut juga tetapi inilah rezeki. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya mengharumkan lagi nama negara.

“Saya pernah menang secara berpasukan pada 2017 dalam kejohanan dunia tetapi apabila menang perseorangan, ini pencapaian terbesar saya,” kata olahragawati kebangsaan tahun lalu itu.

Atlet boling padang Nor Farah Ain, 23, pula menyasarkan untuk membawa nama negara ke beberapa siri kejohanan antarabangsa selain mengulangi kejayaan dalam peringkat dunia tahun depan.

Pembantu tadbir di Majlis Bandaraya Shah Alam itu turut bersyukur kerana sentiasa mendapat dorongan keluarga dan majikan yang menghormati minatnya terhadap sukan berkenaan.

“Saya bersyukur kerana sentiasa dapat sokongan. Kemenangan ini pun tidak dijangka kerana saya hanya tumpu berlatih bersungguh-sungguh, selain minat dengan boling padang,” katanya.


Pengarang :