SHAH ALAM, 25 JUN: Sekian lama menyimpan hasrat akhirnya Muhamad Hafiz Alias berpeluang bersemuka dengan tokoh ulama Pattani dalam masjlis ilmu di masjid negeri hari ini.
Muhamad Hafiz, 33 mengakui sangat teruja dapat mengikuti kuliah dhuha yang disampaikan Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni sempena Program Talaqqi Kitab Turath Islami di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/image_123650291-66-500x331.jpg.webp)
“Selama ini saya hanya mendengar ilmu yang disampaikan Baba Ismail menerusi atas talian atau laman sosial. Hari ini saya rasa bertuah kerana dapat juga bertemu beliau.
“Saya rasa lebih berkat dalam menuntut ilmu dan rasa bersemangat juga. Baba Ismail antara tokoh ulama yang disegani di Nusantara,” kata penyelia kontraktor yang tinggal di Bangi.
Perasaan sama dikongsi, pesara Rohimah Muhammad, 60, apabila pertama kali berpeluang menghadiri majlis ilmu disampaikan Baba Ismail.
Jelasnya, umat Islam perlu merebut peluang menyertai kuliah disampaikan tokoh ulama terkenal bagi mendapat keberkatan hidup.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/image_123650291-65-500x334.jpg.webp)
“Ini pertama kali saya datang ke majlis ilmu Baba Ismail. Majlis ilmu oleh ulama ini bukan selalu dianjur, rugi kalau kita lepaskan peluang,” katanya.
Mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan berkaitan kemuliaan menuntut ilmu, Baba Ismail berkata kemuliaan ilmu melebihi segalanya termasuk harta dan kuasa.
Menurutnya, ilmu yang memiliki kemuliaan adalah ilmu yang mampu menghantar pemiliknya meraih kebahagiaan dunia dan akhirat seperti yang dilakukan Imam al-Ghazali.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/image_123650291-67-500x302.jpg.webp)
“Lihat Imam al-Ghazali, walaupun jasadnya sudah tiada tetapi ilmunya masih ada. Tokoh yang hebat tidak terpisah dengan ilmu dan menjadikan buku dan bahan bacaan sebagai sahabat setia.
“Allah telah memuliakan manusia berbanding makhluk lain dengan ilmu. Bahkan Allah memuliakan kita di hadapan malaikat dengan mencampakkan ilmu kepada Nabi Adam,” katanya.
Program anjuran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) itu diadakan selama tiga hari bermula semalam, hari ini dan 27 Jun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada Festival Turath Islami Selangor bagi tahun kedua yang diadakan pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas.