Skuad Saidina Umar Lembaga Zakat Selangor menyantuni seorang khunsa yang hilang pekerjaan dan kini tumpang berteduh di rumah rakannya pada 24 Jun 2024. Foto Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Hilang kerja akibat kerap sakit, khunsa terima bantuan LZS

SHAH ALAM, 26 JUN: Nasib seorang khunsa yang kerap sakit hingga hilang pekerjaan mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurut agensi itu, pihaknya menghulurkan bantuan sewa rumah dan kewangan bulanan bagi meringankan beban individu berkenaan yang kini tumpang berteduh di rumah rakannya.

“Individu ini berasal dari Sabah, hidup seorang diri selepas ayah dan ibunya meninggal dunia dan saudara mara tidak dapat menerima menyebabkannya membawa diri mencari rezeki di sini.

“Ketika lahir, pakar perubatan mengesahkan fungsi tubuh badan dan hormonnya dominan sebagai lelaki. (Tetapi) ketika remaja, dia mula datang haid secara luar biasa dan fungsi kewanitaannya disahkan berfungsi secara normal oleh pakar perubatan.

“Dia yang bekerja sebagai tukang masak turut hilang pekerjaan akibat kerap sakit dan majikan tidak mahu menerima kerana keadaan jantinanya,” menurut LZS dalam kenyataan di Facebook.

Menyifatkan kes sangat terpencil, LZS memaklumkan individu yang disantuni sebagai asnaf miskin itu kini meneruskan rawatan pakar untuk pengesahan jantina.

“Kini rawatan pakar diteruskan dan akan dirujuk kepada pakar luar negara untuk membantunya. Jabatan Mufti juga sedang menunggu laporan dari pakar perubatan untuk mengesahkan status jantinya yang sebenar.

“Beliau tidak minta hidup begini bahkan bukan merubah jantinanya, namun inilah ujian buatnya dan kita semua. Kami manfaatkan wang zakat anda buatnya meneruskan kehidupan. Semoga ada sinar selepas ini bagi beliau hidup seperti orang biasa,” katanya.


Pengarang :