Papan digital memaparkan kata-kata semangat buat Faisal Halim di hadapan pintu stadium ketika perlawanan Selangor FC dan KDA FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Hukuman MFL: Selangor FC teliti, kaji semua saluran untuk tindakan seterusnya

SHAH ALAM, 25 JUN: Selangor FC sedang meneliti dan mengkaji semua saluran bersesuaian sebelum mengambil tindakan seterusnya berhubung hukuman yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) hari ini memaklumkan skuad Gergasi Merah didenda susulan tidak beraksi pada Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, Selangor FC didenda RM100,000, bayaran pampasan kerugian JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super.

“Pihak kelab mengambil maklum akan keputusan MFL tentang kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih.

“Pihak kelab telah memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei dan beberapa insiden lain membabitkan pemain bola sepak tanah air, namun ia ditolak,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pemain Selangor FC turut menunjukkan tanda solidariti kepada rakan sepasukan, Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC

Pada 5 Mei, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Tiga hari selepas itu, Selangor FC menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang JDT disebabkan faktor keselamatan, menegaskan pihaknya memandang serius segala ancaman yang diterima beberapa pemain serta pegawai.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan yang diurus Selangor FC membabitkan latihan fizikal dan pengurusan emosi.

Pada 13 Jun lalu, Faisal membuat kemunculan sulung pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC dengan kesan luka masih belum kering pada tangan kiri dan kepala.

Pemain Selangor FC Faisal Halim bercakap dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tonggak Gergasi Merah itu mengakui hampir berputus asa dan mahu melupakan bola sepak selepas kejadian simbahan asid yang menimpa dirinya.

“Saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu dan berhenti bermain bola asalkan saya dan keluarga selamat,” katanya sebak pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC.

 

Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :