Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Isu limpahan air hujan, pembentung tersumbat di Taman Desa Melor segera diatasi

SHAH ALAM, 11 JUN: Kejadian limpahan air ke jalan raya yang berpunca dari aliran sungai yang deras hingga menjejaskan 16 unit rumah di Taman Desa Melor, Serendah segera diatasi.

Menurut penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, pihaknya akan menyediakan jentera pengorek bagi membersihkan pembentung longkang yang tersumbat.

Saifuddin Shafi Muhammad berkata pihaknya bersama Penghulu Mukim Serendah, Persatuan Penduduk Taman Desa Melor dan Penguatkuasa Pejabat Daerah Tanah Hulu Selangor turun meninjaun selurus menerima aduan lewat petang semalam.

“Selepas membuat penelitian bersama, aliran air Sungai Durian yang deras menjadi punca aliran air kuat menyebabkan air melimpah ke jalan raya.

“Selain itu pembentung longkang tersumbat juga tidak dapat menampung aliran air yang kuat ketika hujan lebat,” katanya yang turut memaklumkan kerja pembersihan akan dilakukan sebaik mencapai persetujuan penduduk.

Menurut Saifuddin, keadaan air melimpah itu berpunca daripada anak sungai berdekatan projek Laluan Rel Pantai Timur.

Beliau menambah Penghulu Mukim Serendah akan mengadakan perbicangan segera bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi menangani keadaan ini.


Pengarang :