EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah (kiri) bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (kanan) ketika perasmian Pusat Data Jais di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 21 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais naik taraf pusat data, pacu transformasi khidmat digital

SHAH ALAM, 21 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menaik taraf pusat datanya sebagai hab bersepadu bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Pengarahnya berkata pusat data di ibu pejabat Jais, Bangunan Sultan Idris Shah menjadi hab menempatkan data dan perkhidmatan digital “End to End” (E2E) merangkumi tujuh bidang utama.

Menurut Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, bidang tersebut merangkumi pendidikan, dakwah, undang-undang keluarga, pengurusan masjid, pengurusan penguatkuasaan, pengurusan halal dan penyelidikan dan pembangunan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad

“Pusat data ini turut menyimpan 11 data cawangan Jais dan berfungsi sebagai koridor digital menghubungkan ibu pejabat dengan cawangan seluruh daerah melalui sambungan rangkaian selamat (IPVPN) JAIS*NET, iSPEKS dan MyGOV*NET.

“Pusat data bersepadu ini untuk menampung keperluan simpanan pangkalan data dan sistem aplikasi Jais lebih sistematik, berdaya saing dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pusat data itu yang disempurnakan EXCO Agama Dr Fahmi Ngah di sini hari ini.

Mohd Shahzihan menambah Jais juga membangunkan 36 sistem aplikasi sejak 2019 hingga 2024 dalam usaha transformasi perkhidmatan penyampaian digital kepada komuniti.

“Sebelum 2019, 17 sistem aplikasi dibangunkan dan peningkatan 111 peratus bermula 2020 iaitu tambahan sebanyak 19 sistem aplikasi dibangunkan dan sedang diguna pakai.

“Inisiatif digital yang dilaksanakan Jais ini juga memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri ke arah kerajaan digital,” katanya.

 


Pengarang :