Pengunjung memilih barangan asas ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidilfitri DUN Sungai Tua di Gua Damai Extreme Park, Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves pada 7 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

JER mega Aidiladha DUN KKB tawar 1,500 ayam pada harga murah

SHAH ALAM, 10 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menawarkan 1,500 ekor ayam dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Aidiladha di Pusat Khidmat DUN itu, Sabtu ini.

Selain ayam, wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata sebanyak 600 kampit beras, 144 botol minyak, 600 papan telur, 400 pek ikan dan 400 pek daging turut disediakan kepada pengunjung.

“Berita baik untuk penduduk DUN Kuala Kubu Bharu. Jualan Ehsan Rahman Madani Mega Aidiladha DUN Kuala Kubu Bharu diadakan pada Sabtu.

“Terdapat potongan harga kaw kaw menanti anda! Ayuh, datanglah beramai-ramai!,” katanya di Facebook.

Semalam, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri mengadakan JER mega sempena Aidiladha hujung minggu ini bagi meringankan persiapan menyambut perayaan itu.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Kuala Kubu Bharu dan Pelabuhan Klang pada Sabtu.

DUN Pandan Indah, Tanjung Sepat dan Dusun Tua pada Ahad, dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Sempena sambutan Aidilfitri pada April lalu, Kerajaan Negeri menganjur jualan mega di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah berbelanja keperluan raya.

Lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras dijual pada harga bersubsidi melibatkan peruntukan sebanyak RM296,439.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sepanjang tahun ini, JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawanganpasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :