Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JER mega Aidiladha rekod jualan lebih RM239,000, manfaat 4,000 pengunjung

SHAH ALAM, 20 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidiladha anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 14 dan 15 Jun lalu merekodkan jualan berjumlah RM239,673.10.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jualan di dataran Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM41,629.05.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi

“Ia diikuti di pekarangan Kompleks Penghulu mukim Hulu Langat (Dusun Tua) sejumlah RM41,347.40 dan pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu (RM39,921.30).

“Manakala Laman Boungainvillea Kampung Sungai Kertas, Batu Caves di DUN Sungai Tua RM39,598.15, Dataran Pantai Batu Laut (Tanjong Sepat) RM38,653.75 dan tapak pasar malam Taman Kem di DUN Pelabuhan Klang (RM38,523.45),” katanya kepada Selangorkini.

Mohamad Kharil menambah jualan yang bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari itu dihadiri 4,000 pengunjung di enam lokasi terbabit.

“Jumlah pengunjung tertinggi di Dusun Tua lebih 700 orang manakala di lokasi lain antara 600 hingga 650 orang,” katanya.

Menurut beliau, ayam merupakan barangan asas yang paling laris terjual sepanjang jualan mega itu.

“Sebanyak 9,000 ekor ayam dijual di enam lokasi itu selain produk lain seperti telur, minyak masak, beras dan daging turut mendapat sambutan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata JER Mega Aidiladha anjuran Kerajaan Negeri memudahkan penduduk mendapatkan keperluan raya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

 


Pengarang :