Pemandangan dari udara kawasan suci yang menjadi tumpuan jemaah dari seluruh dunia pada musim haji 1445H/2024. yang dirakam pada 17 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jurufoto, jurukamera agensi berita antarangsa naik helikopter tinjau kawasan suci

MAKKAH, 18 JUN: Jurufoto dan jurukamera daripada 10 agensi berita antarangsa dibawa menaiki helikopter bagi merakam suasana dan panorama kawasan suci tumpuan jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji tahun ini.

Antara kawasan berkenaan ialah Arafah, Muzdalifah, Mina dan Masjidil Haram.

Padang Arafah ialah lokasi jemaah memulakan ibadah haji iaitu Wukuf di Muzdalifah (tempat bermalam), Mina(melontar) dan Masjidil Haram (Tawaf Umrah, Tawaf Ifadah dan Sai).

Tinjauan dari ruang udara Padang Arafah semalam menyaksikan kawasan itu sunyi sepi berbanding ketika hari Wukuf pada 9 Zulhijah apabila lebih 1.8 juta jemaah berhimpun di kawasan berkenaan.

Kawasan Muzdalifah yang terletak antara Mina dan Arafah juga sunyi apabila jemaah haji meninggalkan kawasan itu menuju ke Mina bagi melontar jamrah selepas mabit (bermalam) di kawasan berkenaan sejurus masuk waktu Maghrib pada 9 Zulhijah.

Muzdalifah pula lokasi suci ketiga dilalui jemaah haji ketika menunaikan haji selepas Masjidil Haram dan Arafah. Ketika di Muzdalifah, jemaah akan menjamak (mengumpul) dan meringkaskan solat Maghrib dengan Isyak). Jemaah juga mengutip batu kecil di Muzdalifah untuk melontar jamrah di Mina.

Mina menjadi tumpuan jemaah bagi menyempurnakan ibadah jamrah di ketiga-tiga jamrah yang dikaitkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim yang bermula sejak 10 Zulhijah dan berakhir 13 Zulhijah.

Masjidil Haram pula kini masih sesak dengan jutaan jemaah sama ada kerana menunaikan Tawaf Ifadah, umrah atau melaksanakan solat berjemaah di kawasan paling suci itu.

– BERNAMA


Pengarang :