Contoh Menu Rahmah yang ditawarkan Restoran Ali Maju di Wisma Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 2 Februari 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

KDNK galak ramai peniaga sedia Menu Rahmah guna kad diskaun

KOTA BHARU, 8 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggalakkan lebih ramai pengusaha makanan menyediakan Menu Rahmah menerusi Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata setakat ini, terdapat 117 pengusaha makanan telah mendaftar kad diskaun itu dengan 64 daripadanya melibatkan peniaga di Kelantan sejak ia diperkenalkan November tahun lepas.

Beliau berkata melalui kemudahan kad itu peniaga berpeluang mendapat potongan harga barangan keperluan perniagaan sehingga 40 peratus di tujuh pasar raya rakan strategik KPDN seluruh negara.

“…dengan hanya menyediakan satu Menu Rahmah peniaga layak mendapat kad ini, justeru kita harap dengan tawaran ini lebih ramai pengusaha makanan terlibat dengan penyediaan Menu Rahmah agar lebih ramai rakyat mendapat manfaatnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan Kad Meriah Borong Mydin, di sini, hari ini.

Fuziah berkata pada masa ini permohonan kad berkenaan masih rendah dan kementeriannya sedang giat melaksanakan promosi kepada peniaga.

Menurutnya KPDN juga telah mengambil pendekatan memudahkan proses mendapatkan kad khas itu agar lebih cepat berbanding pelbagai tatacara sebelum ini.

“Sebelum ini, proses mendapatkan kad ini mengambil masa agak lama dan perlu mengikuti beberapa prosedur termasuk naziran, antara faktor ramai peniaga kurang berminat memohon kad ini.

“Kami berharap dengan kaedah baharu ini semua pengusaha Menu Rahmah sebelum ini dapat mendaftar kad diskaun ini dan kembali menyediakan perkhidmatan tersebut kepada rakyat,” katanya.

Berikutan itu katanya KPDN juga akan berusaha memperluaskan penglibatan pasar raya dalam diskaun khas berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :