Ilustrasi keracunan makanan berpunca daripada bakteria, bahan kimia, logam berat, tumbuhan atau hasil laut beracun dalam makanan atau minuman tercemar. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Keracunan makanan bawa maut, bakteria ambil masa hingga 72 jam

Semua orang terdedah pada keracunan, di mana jua kita menikmati makanan. Jika seseorang tidak segera mendapat rawatan, keracunan ini boleh membawa maut.

Risiko ini mengintai kita di mana-mana: sekolah, kawasan rehat, jualan dalam talian atau kenduri kahwin. Kebanyakannya angkara bakteria Salmonella spp atau Escherichia coli (E coli).

Kematian kanak-kanak berusia dua tahun dan pelajar 17 tahun di Gombak awal bulan ini mengingatkan kita bahawa keracunan makanan bukan hanya rasa loya, sakit perut atau cirit-birit.

Mereka menjadi mangsa selepas menjamah sarapan bihun goreng dan telur mata yang disediakan untuk program di sebuah sekolah di Sungai Cincin pada 8 Jun lalu. Sementara 80 orang lagi terkesan dengan gejala itu.

Seorang wanita 54 tahun dari Johor dilaporkan meninggal dunia di hospital Kuala Terengganu pada 19 Disember lalu selepas dua hari mengambil makanan di kawasan rehat di Lebuhraya Pantai Timur.

Lebih menakutkan

Kira-kira 10 tahun lalu, lebih 270 orang yang hadir kenduri kahwin di sebuah kampung di Sungai Petani, Kedah mengalami keracunan selepas memakan ayam masak merah. Empat mangsa meninggal dunia.

Ketika keadaan paling kritikal, selepas tiga hari, 127 pesakit masing-masing mendapat rawatan di hospital Sungai Petani dan Yan. Sementara 18 lagi menerima rawatan di hospital Baling dan Sik.

Namun tidak semua keracunan yang melibatkan ramai orang menyebabkan kematian.

Kejadian di sebuah sekolah berasrama pada November 2021 tidak melibatkan kemasukan ke wad untuk rawatan lanjut (lihat jadual).

Lebih menakutkan, keracunan makanan boleh datang tanpa diduga. Seorang wanita muda meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama 10 hari di unit rawatan rapi akibat kegagalan beberapa organ.

Mangsa dan keluarganya dilaporkan mengambil puding buih yang dijual dalam talian pada 22 Mei 2020. Pada 1 Jun, EXCO kesihatan Terengganu mendedahkan ia berpunca daripada telur yang sudah tamat tarikh luput lebih dua minggu.

Kejadian di Gombak dan Kuala Muda-Yan akibat jangkitan Salmonella.

Bakteria ini juga penyebab insiden di Kupang selepas mangsa menikmati laksa pada 4 Oktober 2018. Selain dua meninggal dunia, 34 orang dirawat di Perak, 25 (Kedah) dan 24 (Selangor).

Bagaimana kita boleh mengenali punca-puncanya dan cara untuk mencegahnya?

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, E coli boleh menyebabkan cirit-birit berdarah dan sakit perut yang teruk.

Malah kesan jangkitan boleh menyebabkan radang usus khususnya kanak-kanak dan warga tua.

Tempoh jangkitan kedua-dua bakteria ini, termasuk Salmonella spp, mengambil masa enam hingga 72 jam (tiga hari). E coli biasanya membawa kesan 10 hingga 15 jam, satu lagi 12 hingga 36 jam.

Salmonella spp

Makanan yang biasa dikaitkan dengan bakteria ini:
– daging ayam dan produk berasaskan ayam
– telur dan hasil telur
– susu dan hasil tenusu seperti keju, krim, kastard dan susu mentah

Cara rebakan:
– pencemaran silang daripada makanan dan daging mentah ke makanan yang dimasak
– pencemaran silang pengendali makanan daripada haiwan

Escherichia coli

Makanan biasa dikaitkan dengan bakteria ini:
– berasaskan daging seperti burger separuh masak
– keju
– cendol
– makanan segera
– minuman yang tercemar

Cara rebakan
– makanan tidak dimasak dengan sempurna
– air tercemar
– pencemaran dari daging mentah kepada yang dimasak

Cara pencegahan
– masak daging, ayam dan telur dengan sempurna (lebih 75° Celsius)
– elakkan makan daging atau stik mentah atau separa masak
– gunakan peralatan (pisau atau papan pemotong) berasingan untuk daging mentah dengan yang dimasak
– simpan makanan mentah dan yang dimasak dalam bekas berasingan
– cuci tangan selepas sentuh haiwan
– cuci tangan sebelum, semasa dan selepas kendalikan makanan

 


Pengarang :