EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (empat, kanan) pada majlis pelancaran produk penghalau nyamuk Biore Guard Mos Block Serum di Hotel One World, Petaling Jaya pada 13 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri, swasta kerjasama laksana program cegah denggi termasuk di sekolah

PETALING JAYA, 13 JUN: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan KAO Malaysia dan Takeda Malaysia bagi melaksana program pencegahan denggi menerusi produk baharu syarikat berkenaan.

EXCO kesihatan awam berkata menerusi kerjasama itu syarikat tersebut menyumbang 61,080 unit produk penghalau nyamuk Bioré Guard Mos Block Serum dengan nilai keseluruhan RM971,172.

“Menerusi kerjasama ini kita akan laksana program pencegahan denggi di Selangor bersama KAO Malaysia dengan aktiviti pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat termasuk gotong-royong.

“Kita juga akan mengedarkan produk penghalau nyamuk di kawasan ‘hotspot’ denggi termasuk menganjurkan program kesedaran di sekolah sekitar Selangor bagi meningkatkan kefahaman masyarakat berhubung bahaya aedes.

“Kerajaan Negeri menghargai sumbangan daripada KAO Malaysia ini dan mengalu-alukan kolaborasi seperti ini bersama pihak swasta pada masa akan datang sekali gus memastikan kesihatan rakyat Selangor terjamin,” kata Jamaliah Jamaluddin.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap pada majlis pelancaran New Biore Guard Mos Block Serum di Hotel One World, Petaling Jaya pada 13 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran New Bioré Guard Mos Block Serum di Hotel One World di sini hari ini.

KAO Malaysia melancarkan produk penghalau nyamuk daripada menghinggap kulit manusia yang boleh didapati di farmasi, pasar raya terpilih dan secara dalam talian mulai Julai ini.

Sementara itu, mengenai situasi Covid-19 di Selangor, Jamaliah berkata setakat ini keadaan masih terkawal dan masyarakat tidak perlu bimbang.

“Namun orang ramai terutama golongan berisiko dinasihatkan mengambil langkah berwaspada ketika berkunjung ke kawasan sesak dan kalau boleh pakailah pelitup muka.

“Saya sarankan kepada yang belum vaksin sila ambil dos itu di pusat kesihatan berhampiran dan sekiranya ada individu belum lengkapkan dos (vaksin) sila lengkapkan segera,” katanya.


Pengarang :