Kakitangan Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerja senggara, ganti aset loji SSP1 dimulakan 9 pagi ikut jadual

SHAH ALAM, 5 JUN: Kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dimulakan jam 9 pagi ini mengikut jadual.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangka proses itu siap jam 7 malam ini dan pengguna menerima bekalan air secara berperingkat mulai 3 pagi, 6 Jun.

Menurut syarikat itu, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akan mencapai sekitar 20 peratus jam 3 petang esok, diikuti 90 peratus jam 3 pagi pada 7 Jun.

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan terlibat dijangka jam 12 tengah hari, 7 Jun. Tempoh gangguan dan pemulihan bergantung jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan.

“Air Selangor akan menggerakkan lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Bantuan bekalan air alternatif menerusi 13 pusat khidmat setempat (PKS) turut disediakan,” katanya di Facebook.

Tambah syarikat itu, pelanggan komersial boleh membeli air terawat di mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor dan menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian.

Menurut Air Selangor, stesen itu dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat).

“Air Selangor juga mengadakan sesi taklimat dengan wakil rakyat bagi kawasan terjejas pada 4 Jun lalu untuk memastikan kelancaran pembekalan air kepada pengguna,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.


Pengarang :