Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap larangan merokok di premis makanan dan akan mengambil tindakan secara tegas menerusi penguatkuasaan tersebut. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM keluarkan lebih 6,000 kompaun kesalahan merokok sepanjang Mei

PUTRAJAYA, 14 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 6,605 kompaun bernilai RM1.6 juta sepanjang Mei lepas atas kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata 16,355 notis kesalahan dikeluarkan daripada 29,098 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 2,778 kompaun bernilai RM1.4 juta dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

“Sejumlah 551 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa sama, 71 kes telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM151,600. Terdapat satu kes dipenjara 10 hari oleh mahkamah kerana gagal membayar denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata 8,587 premis makanan diperiksa pada bulan lepas dengan 225 premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Menurutnya tindakan penutupan sementara premis makanan dikuatkuasakan KKM sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.

-BERNAMA


Pengarang :