Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan (depan, tengah) bergambar bersama penderma darah pada Majlis Apresiasi Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada 22 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM rancang digitalkan buku derma darah, tarik golongan muda sebagai pelapis

IPOH, 22 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang mendigitalkan buku pendermaan darah bagi menambah baik kemudahan berkenaan sebagai satu daripada usaha untuk menarik lebih ramai penderma dalam kalangan orang muda.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata melalui aplikasi itu, penderma darah dapat mengakses rekod pendermaan mereka dengan lebih mudah dan pantas.

“Mereka (penderma darah) juga dapat memantau tarikh pendermaan terakhir, tarikh pendermaan darah seterusnya, maklumat mengenai pendermaan terkini, lokasi pendermaan darah dan kempen pendermaan darah bergerak.

“Pada masa hadapan, aplikasi ini juga membolehkan penderma darah membuat janji temu untuk aktiviti pendermaan darah mereka. la lebih fleksibel dan mesra pengguna,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata pihaknya menyasarkan golongan muda berusia 17 hingga 24 tahun sebagai pelapis penderma darah yang baharu.

Beliau berkata hal itu kerana pihaknya menyasarkan 3.5 peratus jumlah penduduk di negara ini ialah penderma darah menjelang 2030, berbanding ketika ini hanya 2.3 peratus.

Katanya, kumpulan penderma darah yang kecil semakin berkurangan disebabkan peningkatan usia dan faktor lain sekiranya tiada penglibatan yang lebih daripada masyarakat.

Sementara itu, penerima Anugerah Penderma Darah Jenis Jarang Jumpa Nazran Mohd Nawawi, 47, dari Puncak Alam, Selangor telah menderma darah lebih 300 kali sejak 1995.

Nazran yang mempunyai darah jenis O berkata darahnya dikategorikan jarang jumpa disebabkan keistimewaan pada jenis platlet yang terkandung dalam darahnya yang sangat diperlukan bagi individu menghidap penyakit tertentu.

“Kira-kira tiga tahun lalu saya dimaklumkan kakitangan perubatan makmal darah di Kuala Lumpur hanya ada dua individu termasuk saya yang mempunyai darah sedemikian.

“Saya diberitahu darah macam saya susah didapati, ia sangat diperlukan oleh pesakit yang menghidap jenis penyakit jarang berlaku,” kata pekerja di sebuah hotel itu lagi.

– BERNAMA


Pengarang :