Gambar ilustrasi BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM, syarikat telekomunikasi sedia talian kaunseling percuma

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk membolehkan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 diberikan secara percuma.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu bagi memudahkan orang ramai terutamanya golongan remaja untuk menghubungi khidmat tele-kaunseling tersebut dan mendapatkan bantuan khidmat nasihat mengenai kesihatan mental yang dihadapi mereka.

“Kita menerima tawaran pihak telekomunikasi untuk membolehkan talian ini diberikan secara percuma kerana ketika ini talian terbabit dicaj mengikut kadar yang ditetapkan.

“Kita berharap syarikat besar seperti Celcom, Digi dan Maxis akan menawarkan perkhimatan ini secara percuma untuk membolehkan lebih ramai remaja berani untuk menghubungi dan mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai strategi khusus kementerian dalam menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.

Menjawab soalan asal Siti Zailah mengenai bilangan kes yang diterima menerusi Talian HEAL, Lukanisman berkata sejak ditubuhkan pada 21 Okt 2022 sehingga kini, sebanyak 46,324 panggilan telah diterima.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 27,361 atau 59 peratus klien telah menerima bantuan sokongan dan emosi manakala 18,963 atau 41 peratus klien diberikan intervensi khusus oleh pegawai psikologi kaunseling.

“Sebanyak 288 kes tingkah laku bunuh diri telah dikendalikan meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri.

“Daripada jumlah ini, 161 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan 127 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk dan berjaya dibawa ke fasiliti kesihatan KKM bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Katanya, bagi setiap kes cubaan bunuh diri yang berjaya diselamatkan melalui Talian HEAL dan telah discaj dari hospital, petugas talian iaitu pegawai psikologi akan melakukan panggilan tindak susul secara berkala bagi memasikan kelangsungan rawatan dan pemulihan.

-BERNAMA


Pengarang :