Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan asas murah ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Pusat Khidmat Ahli Majlis Zon 23, Petaling Jaya pada 4 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 2,000 penduduk Seri Setia terima manfaat jualan murah negeri

PETALING JAYA, 4 JUN: Lebih 2,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerima manfaat Jualan Ehsan Rahmah (JER) setakat ini.

Wakil rakyatnya berkata sejak awal tahun hingga hari ini, lebih tiga kali program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dianjurkan terutama di kawasan penduduk berpendapatan rendah.

“Ia termasuk di kawasan berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebelum ini yang kali pertama dianjurkan bagi memastikan manfaat untuk keluarga anggota.

“Beberapa lagi program jualan murah kita rancang di sekitar DUN Seri Setia tahun ini bagi memastikan penduduk dapat merasa nikmat diberikan Kerajaan Negeri,” kata Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika JER peringkat DUN itu hari ini.

ADN Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada Media Selangor ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Pusat Khidmat Ahli Majlis Zon 23, Petaling Jaya pada 4 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Majlis Jalan SS9/10, Sungai Way, PKPS menyediakan 500 ekor ayam, telur (300 papan), daging (300 pek), beras 5kg (300 kampit), ikan (200 pek) dan minyak 5kg (50 botol) selain produk barangan kering keluaran agensi itu.

Maren Chan

Pengunjung, Maren Chan, 70, berharap program berkenaan diadakan lebih kerap memandangkan barangan dijual lebih murah berbanding pasaran luar selain berkualiti.

“Saya boleh jimat banyak. Sebagai pesara saya dan suami tiada pendapatan tetap, jadi bila belanja di sini boleh jimat dan disalurkan kepada perbelanjaan lain,” katanya.

Wan Yusnita Wan Yusoff

Peniaga, Wan Yusnita Wan Yusoff, 44, berkata beliau sudah beberapa kali ke jualan murah itu malah sanggup ke kawasan lain yang agak jauh kerana boleh jimat belanja dapur bulanan.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).


Pengarang :