Orang ramai mengunjungi reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 3,000 kitab Hadis 40 Imam an-Nawawi terjual di pesta buku KL

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Lebih 3,000 kitab Hadis 40 Imam an-Nawawi: Sebuah Huraian Untuk Dunia Semasa dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung dari 24 Mei lalu.

Pengurus jualan dan pemasaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) berkata selain kitab tersebut, turut mendapat permintaan tinggi adalah buku biografi Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal.

“Kita mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke PBAKL bagi mendapatkan naskhah terbitan IBDE ini di Dewan Tun Razak Pusat Dagang Dunia, tingkat 4 reruai 4053 dan 4060.

“Sekiranya mereka terlepas untuk mendapatkan naskhah di pesta buku ini, boleh juga membeli menerusi media sosial Tik Tok Buku IBDE dan di kedai buku terpilih,” kata Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman kepada Selangorkini.

Kitab Hadis 40 Imam an-Nawawi atau al-Arba’in al-Nawawiyah, terus menjadi pegangan umat Islam di seluruh dunia. Kementerian Pendidikan mengangkat semula kitab itu sebagai teks pengajian di sekolah menengah.

Orang ramai mengunjungi Pavilion Selangor mendengar bual bicara EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Karya ulama besar bidang hadis dan pakar fikah mazhab Syafie itu menghimpunkan 42 hadis penting yang membahaskan perkara usul dan sendi agama. Himpunan ini mencakupi kehidupan umat Islam dari sudut akhlak, akidah, hukum dan amal soleh.

Sementara itu, Pengurus Besar Hijjaz Records Distributors Syamiel Amier menjelaskan pihaknya tidak melepaskan peluang menyertai pesta buku antarabangsa itu saban tahun.

“Tahun ini kita bawakan pelbagai buku dengan 140 tajuk antaranya genre berkaitan akhir zaman dan sejarah Melayu yang mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung.

“Malah, kita juga ada bawa buku lama tetapi masih mendapat permintaan tinggi yang mana kita sudah mencetak lebih 10 kali iaitu Misteri Al-Masih Ad-Dajjal,” ujarnya.

PBAKL edisi 2024 berlangsung 24 Mei hingga 2 Jun yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menawarkan 969 reruai dan ruang pameran dari penerbit buku tempatan dan luar negara.

EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi ketika sesi bual bicara di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Dua beradik Sabiluzzuhdi Zahari (kanan) dan Syamil tertarik dengan Buku 40 Hadis Imam an-Nawawi ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :