AGENDAJENAYAH

Lelaki didakwa bunuh ibu guna gunting dirujuk ke hospital bahagia

GEORGE TOWN, 24 JUN: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang didakwa membunuh ibunya dua minggu lepas, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani rawatan psikiatri selama sebulan.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya M. Darrshini, agar tertuduh menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Soon Yong Aun, 40, yang tidak diwakili peguam, mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa membunuh ibunya Chua Ah Ting, 67, di sebuah rumah di Taman Alor Vista di sini pada lebih kurang jam 5.47 petang, 15 Jun.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Darrshini memohon kepada mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin, selain dirujuk ke Hospital Bahagia mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

“Dalam siasatan pendakwaan, tertuduh mempunyai kad merah iaitu kad ubatan terkawal yang merujuk kepada sakit mental,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia untuk perhatian doktor selama sebulan dan kes ditangguh sehingga 24 Julai, untuk laporan perubatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau, di sini dan suspek yang mempunyai masalah mental itu telah menghubungi abangnya sendiri untuk memaklumkan perbuatannya itu.

Polis yang menerima panggilan daripada abang suspek kemudiannya bergegas ke lokasi untuk siasatan, sebelum berjaya menahan lelaki berusia 40 tahun di lokasi kejadian.

– BERNAMA

 


Pengarang :