Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang menawar pertolongan bagi membersihkan maklumat diri dari aktiviti pengubahan wang haram dan dadah. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki jalan kegiatan pancing data guna pautan SMS diberkas

PUTRJAYA, 21 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan seorang lelaki dipercayai menjalankan kegiatan memancing data (phishing) menerusi pautan khidmat pesanan ringkas (SMS) di Cheras,Kuala Lumpur, semalam.

Suspek ditahan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan maklumat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Maxis.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan suspek menggunakan sebuah kenderaan bagi menjalankan kegiatan phishing dengan memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi menyebarkan SMS phishing kepada pengguna talian aktif di kawasan berkenaan.

“Kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi bacaan spektrum yang dipancarkan daripada peralatan komunikasi milik suspek yang juga menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemukan peralatan komunikasi seperti telefon pintar, GSM blaster, antena transceiver dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan berkenaan.

Menurutnya kesemua peralatan berkenaan yang dipercayai digunakan individu itu bagi menghantar SMS untuk memperdaya pengguna telah disita untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dan tidak sesekali klik pada sebarang pautan menerusi SMS sebagaimana arahan yang dikeluarkan SKMM pada tahun lalu bagi melindungi orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Siasatan juga dijalankan di bawah Peraturan 16, Peraturan- Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,”katanya.

SKMM menyeru orang awam jika terlihat kenderaan mencurigakan yang mempunyai penyambungan peranti komunikasi seperti dinyatakan untuk berkongsi maklumat dan melaporkan terus kepada pihaknya atau PDRM.

– BERNAMA

 


Pengarang :