Orang ramai mendapatkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan sempena Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Fest di Pasaraya Besar AEON Mall, Bukit Tinggi, Klang pada 29 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lonjak potensi niaga, 40 usahawan tani terima geran RM645,750

KLANG, 29 JUN: Seramai 40 usahawan tani menerima insentif geran berjumlah RM645,750 sebagai pemangkin potensi perniagaan masing-masing, kata menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata geran itu meliputi 10 projek di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) termasuk geran Agropreneur Muda dan geran Agrobazaar Rakyat.

“Kementerian menerusi Fama dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sentiasa proaktif memperkasa usahawan termasuklah dalam pemasaran produk agromakanan negara,” katanya pada Fama Fest 2024@Selangor di sini, hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu

Bercakap pada sidang media, Mohamad menambah Fama sebagai agensi peneraju utama pemasaran produk agromakanan negara berperanan memperluas saiz pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar makanan serta ketersediaan bahan makanan.

Katanya, Fama perlu meneroka pasaran baharu terutama di Negara Bebas Komanwel (CIS) termasuk Kazakhstan bagi meningkatkan jumlah ekport produk tempatan.

“Setakat ini produk Malaysia banyak sudah popular di Amerika Syarikat, Rome dan Dubai jadi Fama boleh bersama memperkenalkan barangan Malaysia terutama di negara CIS menerusi penyertaan dalam ekspo dan pameran (antarabangsa) yang dianjurkan di sana.

“Antara yang boleh dipromosikan adalah produk kopi keluaran Malaysia yang pelbagai dan mendapat permintaan, ” katanya.

Berlangsung sejak Khamis hingga esok, antara tarikan utama Fama Fest 2024@Selangor adalah penawaran pelbagai jualan menarik kepada pengunjung seperti makanan segar, menu masakan warisan melayu, jualan beras putih tempatan serta produk agromakanan.

Ia juga membantu membuka peluang usahawan tempatan mengeksport produk mereka melalui sesi padanan perniagaan melibatkan agen pengeksport dari United Kingdom, Hong Kong dan Kemboja.


Pengarang :