SELANGOR

Maqis sita serbuk dadih susu dari Belanda di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 13 JUN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menyita 26,000 kilogram (kg) serbuk protein whey (dadih susu) dari Belanda dianggarkan bernilai RM140,036 di Pelabuhan Klang (Barat), Isnin lalu.

Pengarahnya Mohd Sobri Md Hashim berkata rampasan dagangan itu melibatkan sebuah kontena susulan pemeriksaan fizikal pihaknya di sebuah gudang pada jam 3 petang.

“Sitaan barang dagangan itu dilakukan kerana dipercayai menggunakan dokumen mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sobri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengemukakan maklumat mengelirukan iaitu maklumat nombor loji dalam permit import tidak sama dengan kotak pada dagangan.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :