Sekitar mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

MB bentang perkembangan IDRISS, mudahkan penduduk terima maklumat

SUBANG JAYA, 23 JUN: Perkembangan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) antara agenda penting yang akan dibentang pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) awal Julai ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata menerusi pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1), laporan berhubung kemajuan beberapa projek bawah IDRISS akan diumum.

“Ini antara tumpuan dan kita percaya beberapa projek ini akan memacu lagi ekonomi negeri. Menerusi pembentangan ini, penduduk boleh mengetahui dengan lebih lanjut.

“Sesi pembentangan akan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Seni Komuniti Puchong di sini hari ini.

Pada Khamis, Speaker DNS Lau Weng San memaklumkan sidang dewan dijadual bersidang selama dua minggu mulai 4 hingga 18 Julai depan, dimulakan dengan istiadat angkat sumpah Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao.

Bagi membolehkan rakyat Selangor mengikuti persidangan kali ini, Kerajaan Negeri menayangkan secara langsung melalui Selangor TV Live di laman sesawang selangortv.my atau YouTube.

Berita perbahasan ADN juga boleh diikuti menerusi Facebook Media Selangor, portal Selangorkini termasuk edisi Inggeris, Mandarin dan Tamil.


Pengarang :