Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari Bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad ketika di Mina sebelum ke Arafah untuk berwufuh pada 15 Jun 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB doakan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dari Arafah

SHAH ALAM, 16 JUN: Dato’ Menteri Besar mendoakan kesejahteraan dan keselamatan untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang kini sedang menunaikan fardhu haji menitipkan doa dari Arafah agar Selangor dan Malaysia dilimpahkan keamanan dan kemakmuran.

Beliau turut mendoakan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat terus utuh bagi menempuhi cabaran mendatang.

“Kira-kira jam 2.50 petang di bumi Arafah saya dan juga jutaan umat Islam baru selesai aktiviti, berdoa, bermunajat sempena dengan rukun utama menunaikan haji iaitu berwukuf di Arafah.

“Ini adalah waktu yang paling mustajab berdoa dan dalam doa tadi saya panjatkan selain daripada kesejahteraan secara peribadi untuk diri dan keluarga serta sahabat.

“Saya turut memanjatkan doa kepada Allah agar bumi Selangor dan Malaysia dilimpahkan keamanan, kedamaian, kemakmuran, dijamin perpaduan dan juga kesatuan rakyatnya dalam menempuhi cabaran mendatang,” katanya dalam rakaman video di Facebook hari ini.

Beliau turut mendoakan pemain sayap Selangor FC Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid segera sembuh dan keadilan dapat ditegakkan untuk pemain itu.

“Saya turut terkesan dengan penampilan saudara Faisal Halim pada sidang media baru-baru ini.

“Saya berdoa agar keadilan dapat ditegakkan khusus untuk Faisal dan keluarganya. Semoga beliau segera sembuh untuk menjaga keluarganya dan tidak ketinggalan untuk meneruskan karier selaku pemain bola sepak Malaysia dan Selangor,” katanya.

Amirudin dalam pada itu turut mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam.

“Salam Aidiladha kepada semua. Marilah kita berdoa untuk meneruskan kejayaan kita bersama,” katanya.

 


Pengarang :