Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media Kejohanan Selangor International Junior Golf Championship 2024 dan PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor pada 30 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSUKANKINI

MB: Hukuman terhadap Selangor FC undang kemarahan penyokong

SHAH ALAM, 26 JUN: Hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC mengundang kemarahan dan kekecewaan penyokong pasukan itu, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, reaksi itu harus menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan terhadap Red Giants ekoran tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih dibuat tanpa sebarang rasa bertanggungjawab.

Menjadi pengurus pasukan tersebut pada 2015 dan 2016, beliau berkata MFL wajar memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan dan empati terhadap keselamatan pemain.

“Keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak negeri Faisal Halim merupakan titik hitam dalam sejarah bola sepak tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang murka terhadap MFL, seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, tidak bertimbang rasa dan melampaui batas.

Beliau menyifatkan titah kenyataan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membawa gambaran kemarahan dan kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL tersebut.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj murka terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menghukum Selangor FC secara berlebihan.

Menyifatkannya tidak masuk akal, Baginda menganggap keputusan tersebut dibuat tanpa ihsan, tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap kezaliman.

Baginda juga kesal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Dato’ Hamidin Mohd Amin yang tidak bersuara sedangkan pernah menjadi setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor antara 1995 hingga 2013.


Pengarang :