AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pemergian satu kehilangan, Pyanhabib banyak tegak kebenaran

SHAH ALAM, 5 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggap pemergian penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman sebagai kehilangan buat negara.

Menerusi Facebook, beliau menyifatkan Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pyanhabib, 66, banyak mengorbankan masa dan tenaga berjuang menegakkan kebenaran.

“Innalillahi wainna ilaihirojiun. Dikejutkan dengan berita pemergian sahabat saya saudara Pyanhabib, yang meninggal dunia. Negara kehilangan seorang sosok penyair dan aktivis yang banyak mengorbankan masa dan tenaga berjuang menegakkan kebenaran.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya.

Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Dilahirkan di Taiping, Perak pada 27 Mei 1958, Allahyarham turut dikenali menerusi lakonannya dalam filem Kembara Seniman Jalanan, Tsu-Feh Sofiah, Tak kisahlah Beb dan Rock Oo!.


Pengarang :