Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah `Peranan Hakiki Ilmuwan Timur Tengah dalam Konteks Semasa’ di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB seru pelajari kitab turath, jadi benteng kekang masalah sosial

Oleh NORRASYIDAH ARSHAD dan ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 3 JUN: Kitab turath perlu dipelajari bagi menjadi benteng mengekang masalah sosial dan persekitaran masa kini selain merupakan warisan Islam.

Dato’ Menteri Besar berkata dengan pengisian kitab berkenaan dapat membimbing generasi sekarang sekali gus membawa keredaan dan rahmat kepada negara.

“Tahun ini kita dapat berkumpul sekali lagi di Festival Turath Islami Selangor (FITS). Ini tanda atau komitmen Kerajaan Negeri untuk membumikan kitab turath di negara dan negeri.

“Ini sekali gus tanam jati diri yang kekal dan kuat dalam generasi sekarang dan akan datang,” katanya berucap di majlis Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah yang dianjur sempena FITS semalam.

Peserta bertanyakan soalan kepada Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah sempena Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah `Peranan Hakiki Ilmuwan Timur Tengah dalam Konteks Semasa’ di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu hampir 500 peserta menyertai program berkenaan yang merupakan inisiatif menemukan alumni pelajar Timur Tengah termasuk dari Indonesia dan Brunei dengan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah.

Dalam majlis di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Dr Syeikh Ali menyampaikan ceramah bertajuk ‘Peranan Hakiki Imuwan Timur Tengah dalam Konteks Semasa’ selain menjawab persoalan dikemukakan peserta.

FITS yang membuka tirai 26 Mei hingga hari ini mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan penglibatan ulama tradisional serta ahli akademik.

Festival keilmuwan kali kedua terbabit menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura melibatkan 12 acara utama.


Pengarang :