AGENDANASIONAL

MB Terengganu: Penyasaran subsidi diesel langkah tepat, berani

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Terengganu menyifatkan penyasaran subsidi diesel yang diumum Putrajaya pada Ahad lalu adalah langkah tepat dan berani.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun berkata pelaksanaannya perlu mengutamakan kebajikan rakyat, lapor Harian Metro.

“Kita sedar penyasaran subsidi memang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan tanpa disedari, termasuk oleh syarikat tiada kaitan dengan kita.

“Tetapi, kerajaan persekutuan perlu mengambil kira dan mengutamakan kesan, terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

Pada Ahad lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan pengapungan diesel pada harga RM3.35 sen seliter mulai Isnin lalu berbanding RM2.15 sen seliter sebelum ini.

Penyasaran subsidi diesel itu mampu jimat RM4 bilion setahun dan memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Samsuri berkata, penyasaran subsidi diesel sepatutnya dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan berantai kepada rakyat kerana kenaikan harga diesel secara mendadak mula dirasai beberapa penyedia perkhidmatan dan pengeluar barangan.

“Ini adalah satu cabaran sangat besar kerajaan persekutuan untuk menanganinya. Persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan, tetapi saya mengucapkan selamat berjaya kepada pentadbiran kerajaan persekutuan,” katanya.


Pengarang :