Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad ketika di Mina sebelum ke Arafah untuk berwukuf pada 15 Jun 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ucap selamat menyambut Aidiladha, kenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail

SHAH ALAM, 17 JUN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Selangor serta rakyat Malaysia.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang kini menunaikan ibadah haji turut mengajak umat Islam menghayati serta mengenang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Siti Hajar serta Habil dan Qabil.

Beliau berkata, semua kisah itu membawa makna dan erti pengorbanan yang mensyaratkan ketakwaan dan tanpa adanya ketakwaan untuk mengisi pengorbanan, boleh dikatakan tindakan untuk berkorban tidak sempurna sepenuhnya.

“Allah menyebut beberapa sifat orang bertakwa, antaranya disebut dalam al-Baqarah, ayat 177, ialah “seseorang yang mendermakan harta disayangi kepada sanak saudara, anak yatim, orang miskin, orang yang terputus belanja ketika dalam perjalanan mengerjakan sesuatu yang murni.

“Ini merupakan nilai universal yang cukup penting buat manusia dan kemanusiaan,” katanya dalam perutusan sempena Aidiladha 1445H/2024.

Beliau berkata seperti mana kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail bermula dengan arahan penyembelihan sebelum mendapat rahmat dan maghfirah Tuhan, begitu juga Kerajaan Negeri bersama rakyat berjaya keluar dari episod ngeri Covid-19.

Selain itu Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut bertekad mengangkat martabat bagi membangun masyarakat berwawasan, berakhlak dan berkaliber melalui usaha seperti penganjuran Festival Turath Islami 2024 yang berlangsung baru-baru ini.

“Semoga kita dikurniakan keyakinan dan kebolehan untuk berjaya di negara yang kita cintai ini sambil mengecapi peluang untuk terus melakukan kebaikan dan pengorbanan dengan cara masing-masing demi mencapai penyempurnaan pengabdian kita kepada Allah Azza Wa Jalla,” katanya.


Pengarang :