AGENDANASIONAL

MB ucap takziah pemergian Dr Syed Husin Ali, kehilangan besar buat KEADILAN

SHAH ALAM, 29 JUN: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Syed Husin Ali yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pemergian timbalan pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) satu kehilangan besar kepada parti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan peluncuran logo Plats Biaya kolaborasi bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 5 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“KEADILAN hilang seorang tokoh yang amat berjasa dan sentiasa teguh dalam perjuangan reformasi

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ucapnya di Facebook.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan Syed Husin meninggal dunia pada usia 87 tahun di Hospital Selayang selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 18 Jun lalu.

Jenazah Syed Husin akan disembahyangkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Kota Damansara.

Syed Husin merupakan bekas profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya pada pada 1985 hingga 1990 dan memegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom.

Anak kelahiran Johor itu memulakan perjalanan politiknya sebagai ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1960 sebelum menjawat jawatan presiden parti itu pada 1990 hingga 2001.

Beliau kemudiannya bergiat aktif sebagai ahli KEADILAN selepas gabungan parti itu bersama PRM pada Ogos 2003.

Allahyarham meninggalkan tiga anak hasil perkahwinannya dengan Sabariah Abdullah, yang telah meninggal dunia pada 2013.


Pengarang :