BERITA UTAMAPBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBPJ, MBDK tidak naik cukai lebih 30 tahun, bantahan mulai Julai

SHAH ALAM, 14 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tidak membuat semakan kadar cukai taksiran sejak lebih 30 tahun.

Kali terakhir pada 1992, MBPJ tidak membuat sebarang kenaikan sejak 33 tahun manakala MBDK pula menggunakan pakai kadar nilaian berusia 31 tahun iaitu sejak 1993.

Meski kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mahu menguat kuasa nilaian baharu mulai 1 Januari 2025, pemilik hartanah boleh membuat bantahan mengikut tarikh yang ditetapkan.

Bantahan terhadap MBPJ boleh dibuat pada atau sebelum 4 Julai dengan cara mengimbas kod QR atau mengisi borang dalam di laman sesawang PBT berkenaan.

Bantahan terhadap MBDK pula boleh dilakukan menerusi laman sesawang, imbasan kod QR, e-mel atau hadir secara fizikal di kaunter Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta sebelum atau pada 16 Julai.

Selain MBPJ dan MBDK, lapan PBT lain juga tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1986.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.

Katanya, pentadbiran negeri juga akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan ataupun sebaliknya.


Pengarang :